Lelaki ditahan ugut tumbuk rakan ketika tagih hutang

MIRI: Seorang lelaki ditahan kerana mengugut menumbuk rakannya sekiranya enggan membayar hutang.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata suspek berusia 52 tahun itu ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri kira-kira jam 3.20 petang di Pujut 5C, di sini semalam.

Katanya penahanan suspek dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, lelaki berusia 39 tahun kerana bimbang dengan keselamatannya.

“Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa telah berkenalan sejak 2014.

“Difahamkan suspek telah menghubungi mangsa kira-kira jam 3 petang hari yang sama untuk memintanya berjumpa di hadapan sebuah restoran di Pujut 5C bagi berbincang mengenai hutangnya.

“Dalam pertemuan itu, mangsa menafikan berhutang wang dengan suspek menyebabkan suspek berang dan bertindak mengugut mangsa dengan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa sekiranya gagal membayar hutang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak