Leon Jimat Donald keluar DAP

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sri Aman Leon Jimat Donald, mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa DAP Sarawak, menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pada 11 Januari lalu.

Leon, 47, yang menyertai DAP selama 13 tahun berkata keputusan sukar itu dibuat setelah merasakan sudah tiba masanya untuk berpisah dengan DAP.

Malah, beliau menafikan keputusannya itu adalah untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan, diketuai oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng.

Sebaliknya, beliau berkata akan memberi tumpuan kepada kerja bukan politik melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat di Sri Aman melalui NGO yang sedang saya pimpin,” katanya.

Leon sebelum ini bersama Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebelum menyertai DAP.

Beliau yang merupakan anak kepada bekas Ahli Parlimen Sri Aman, mendiang Jimmy Donald pernah bertanding mewakili DAP dalam tiga pilihan raya negeri di DUN Simanggang, namun tewas kepada penyandang Datuk Francis Harden Hollis.

Suara Sarawak