Liga SSC-FAS dedah bakat pemain muda

BINTULU: Liga bola sepak bawah 25 tahun Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)-Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mampu mencungkil bakat baharu serta memberi pendedahan dalam perlawanan kompetitif.

Presiden FAS Datuk Posa Majais berkata, penyertaan menggalakkan daripada pasukan di seluruh Sarawak mencerminkan sukan bola sepak di negeri ini sedang membangun.

“Pertandingan kali ini menyaksikan sebanyak 12 pasukan yang mengambil bahagian serta menunjukkan komitmen dan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung,” katanya dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah Liga SSC-FAS di Bintulu, semalam.

Justeru, beliau berharap agar kejohanan dapat diteruskan pada tahun akan datang dengan penyertaan lebih banyak pasukan dari seluruh pelusuk Sarawak.

Posa turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan pihak SSC atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan kejohanan.

Pada masa sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Buntulu (BIFA) selaku gelanggang pusingan akhir kejohanan tersebut.

Ujarnya, diharapkan kerjasama diteruskan pada masa akan datang.

Suara Sarawak