KUCHING: Pemuzik sape profesional dan pencipta lagu, Alena Murang melancarkan muzik video bertajuk Many Tomorrows, usaha sama dengan Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) sempena Hari Kanser Sedunia bagi tahun ini.

Idea penghasilan lagu itu diilhamkan daripada luahan pesakit kanser yang berdepan cabaran mendapatkan rawatan dan amat berharap jurang perbezaan yang menyumbang kepada isu berkenaan dapat diatasi.

Menurut SCAN yang menjadi suara kepada pesakit kanser di Sarawak, penghasilan Many Tomorrows adalah untuk mencapai matlamat tema baru Hari Kanser Sedunia iaitu Close The Care Gap.

“Lagu ini diharap akan dapat mengajak lebih ramai individu dan banyak pihak melenyapkan jurang perbezaan itu,” katanya dalam kenyataan.

Dengan lirik nukilan Alena sendiri, lagu itu ingin mengingatkan tiada individu yang ditinggalkan tanpa mengira latar belakang dalam menghadapi isu berkenaan.

Gubahan lagu pula diketuai oleh Jonathan Wong Ketshin dan diterbitkan oleh Joshua Maran serta turut diindahkan dengan alunan petikan sape.

Muzik video telah diarahkan oleh Alwyn Tay dari Asa Esa Films.

Justeru, beliau amat tersentuh dengan jumlah rakaman sokongan yang dihantar oleh ahli persatuan dan penghidap dari dalam dan luar negara untuk pembikinan muzik video itu.

Penari dari Zephyr dan ahli Persatuan Masalah Pendengaran Kuching turut menyumbang dalam pembikinan video ini dengan gerakan yang indah dan bahasa isyarat tangan.

Penglibatan pelbagai pihak jelas menunjukkan kesungguhan mereka menyebarkan mesej positif dan kesedaran tentang masalah penghidap kanser di Malaysia yang boleh diatasi dengan kerjasama ampuh semua pihak.

Bercakap mengenai pelancaran muzik video Many Tomorrows, Alena berkata, sejak kecil lagi, beliau membesar dengan isu kanser.

“Ibu bapa saya pernah membawa saya bertemu pesakit kanser di Hospital Umum Sarawak untuk bermain dengan mereka dan menghiburkan mereka dengan muzik saya.

“Beberapa penghidap yang saya kenal baik di kampung mahupun bandar juga berjuang keras untuk melawan penyakit ini,” katanya.

Menyedari bukan mudah bagi penghidap dan keluarga mereka mengharungi cabaran itu, maka, Alena tidak menolak untuk bekerjasama dengan SCAN.

“Saya hanyalah penyumbang kecil untuk usaha sama sini — ahli kumpulan, SCAN, UICC, penari Zephyr, ahli Persatuan Masalah Pendengaran Kuching, mereka yang menghantar rakaman sokongan dan pasukan saya telah memberi sumbangan besar.

“Saya percaya produk yang terbaik adalah hasil kerjasama yang jitu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lagu itu dapat memberikan kelegaan kepada penghidap kanser termasuk mereka yang prihatin.

Sambutan Hari Kanser Sedunia diwartakan pada 4 Februari 2000 dan diraikan setiap tahun di peringkat antarabangsa dengan tema selama tiga tahun akan datang (2022 hingga 2024) ialah Close The Care Gap. Namun jelas masih terdapat jurang dan kekurangan dalam hal kebajikan pesakit kanser di seluruh dunia terutamanya negara dunia ketiga.

Penghidap kanser masih sukar mendapatkan rawatan yang secukupnya. Jurang permasalahan ini amat ketara dari segi pendapatan, pendidikan, tahap kesedaran, lokasi, bangsa, jantina, umur dan banyak lagi faktor lain yang perlu ditangani.

Penghidap dari kawasan terpencil harus bergerak jauh ke bandar untuk mendapatkan rawatan.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah kebajikan asas ini.

Para penghidap dari kawasan pedalaman adalah yang paling terkesan.

Kes seperti ini bukanlah sesuatu yang baru bagi pesakit terutamanya dari pedalaman Sarawak yang adakalanya perlu menggadaikan harta untuk menanggung kos perjalanan, penginapan dan rawatan.

Kos perubatan dan rawatan untuk penyakit kanser juga semakin meningkat dan selalunya tidak dibiayai oleh kerajaan.

Hal ini telah membebankan kebanyakan pesakit dari segi kewangan termasuklah ahli keluarga mereka.

Sebagai natijah, pesakit tidak berkemampuan cenderung untuk meninggalkan rawatan dan memilih untuk hidup dengan kanser.

Suara Sarawak