KUCHING: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman terhadap Bong Tat Ming, 39, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Berdasarkan pertuduhan, dia pernah disabit bersalah mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine sebanyak dua kali pada tahun 2008 dan 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan kali ini, dia didapati mengambil bahan terlarang terbabit di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan, kira-kira jam 10.18 pagi, 8 Disember 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta tidak melebihi tiga sebatan.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini, dan dalam pengawasan polis selama tiga tahun selepas menjalani hukuman.

Semasa sebutan kes, bapa kepada tiga orang anak itu memohon agar diringankan hukuman dan mengaku mengambil bahan terlarang kerana perlu bertahan bekerja lebih masa sebagai mekanik bagi menampung keperluan keluarga kerana isterinya mempunyai masalah kesihatan dan menjaga ibu yang uzur.

Namun begitu, mahkamah menolak rayuan terbabit kerana tertuduh mempunyai dua rekod lampau dan didakwa mengikut minimum hukuman yang ditetapkan mengikut Seksyen yang dikenakan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak