KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan mendiang Datuk Simon Dembab Maja sebagai penyumbang kepada kestabilan politik di Sarawak pada tahun 70-an.

Malah, katanya mendiang yang pernah menjadi timbalan ketua menteri dan ahli pengasas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menyumbang kepada kestabilan kerajaan negeri yang dibentuk selepas memenangi pilihan raya negeri yang diketuai oleh Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub.

“Sarawak telah kehilangan seorang rakyat sejati yang telah menyumbang kepada kekuatan Sarawak dan meletakkan asas kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual semasa memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Simon di kediamannya di sini hari ini.

Abang Johari bersama (dari kiri) Nanta, Rundi dan Uggah memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Simon. Turut kelihatan Rosalind (kanan). Gambar ihsan Jabatan Penerangan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Mendiang Simon meninggal dunia pada Sabtu (22 Januari) di sebuah pusat perubatan swasta di sini pada usia 85 tahun.

Beliau berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri di bawah Kerajaan Gabungan Sarawak, yang dianggotai Parti Bumiputera, Parti Pesaka dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada 1970.

Beliau juga merupakan Pegawai Hal Ehwal Sekolah di Majlis Daerah Engkilili sebelum menceburi bidang politik.

Mendiang meninggalkan isteri Datin Rosalind Sitie Jemeni, tiga anak, tiga cucu dan dua cicit.

Mendiang akan dibawa ke kediamannya di Engkilili hari ini dan dikebumikan pada Rabu ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak