Mercun, bunga api dirampas di Selangau
MERCUN DIRAMPAS… semua mercun dirampas oleh IPD Mukah pada Jumaat di Selangau

MUKAH: Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah merampas 239 kotak mercun dan 29 kotak bunga api pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,100 dalam satu serbuan di Selangau, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun turut ditahan kerana menjual mercun dan bunga api berkenaan tanpa lesen.

Remaja tersebut katanya diserbu oleh sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Mukah di sebuah premis di Selangau.

“Selepas pemeriksaan mendapati remaja itu gagal menunjukan lesen atau permit, polis kemudian menahan suspek dan merampas kesemua mercun pelbagai jenis di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun ujarnya, suspek hanya mengaku bekerja sebagai pembantu kedai dan siasatan lanjut akan dibuat terhadap suspek mengenai penglibatan beliau dalam kes berkenaan.

“Barang yang dirampas akan dirujuk ke Jabatan Kimia,” ujarnya lagi.

Rampasan berkenaan melibatkan 199 kotak mercun Pop Pop T8500, 4 kotak Bunga api Glow Of Sun Set (V301), 40 kotak mercun mini Cicciolo (V1460), 14 batang Bunga api Happy Boom Magical Shoot 30s (KT6230) dan 11 kotak Bunga api Happy Boom Pili Cracker (KT667).

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda RM 10,000 atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak