KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak akan menggunakan alat pengesanan had laju ‘In-Car-Radar’ dan Sistem Kompaun Dalam Talian Pintar (iCOPS) untuk mengesan pesalah trafik sepanjang Op Selamat Ke-17 sempena Tahun Baharu Cina (TBC).

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, setakat ini Sarawak cuma mempunyai lima unit kenderaan peronda yang dilengkapi dengan kemudahan tersebut dan ia akan ditempatkan di lima bandar utama di negeri ini.

“Melalui sistem itu, kita boleh melihat mana-mana kenderaan yang mempunyai rekod kecurian, saman tertunggak dan sebagainya melalui nombor pendaftaran.

“Selain itu, kita juga boleh memeriksa kenderaan semasa di jalan raya dan mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat dengan kesalahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ops Selamat Ke-17 sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di Farley Mall Batu 6 dekat sini, hari ini.

Tambahnya penggunaan “In-Car Radar” itu telah diuji di Bukit Aman dan didapati berjaya.

“Ini juga merupakan kali pertama kita menggunakan alat tersebut dalam Ops Selamat yang akan dijalankan nanti,” ujarnya.

Suara Sarawak