Para Badminton Sarawak sasar dua emas

KUCHING: Sekurang-kurangnya dua emas disasarkan kepada pasukan Para Badminton Sarawak yang akan menyertai kejohanan Para Sukma pada Oktober nanti.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pasukan berkenaan telah mula berlatih kira-kira lebih sebulan selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) membenarkan latihan secara fizikal.

“Sebelum ini, mereka hanya berlatih di rumah disebabkan pandemik Covid-19 namun setelah mendapat kebenaran JPBNS mereka mula berlatih secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perlawanan persahabatan antara Persatuan Badminton Para Negeri Sarawak (PBPNS) dengan Jabatan Penerangan Sarawak, di Winner Court, di sini, hari ini.

Selain itu, Fatimah berkata pasukan Para Badminton berkenaan juga akan menyertai Sirkit Badminton Kebangsaan di Kuala Lumpur bermula 24 hingga 27 Mac nanti.

Justeru, beliau berharap dengan adanya inisiatif perlawanan persahabatan antara Para Badminton dengan Jabatan Penerangan, ia dapat memberikan sokongan moral kepada para atlet.

Beliau menambah ia sekaligus menjadi persediaan awal bagi menghadapi kejohanan-kejohanan pada masa akan datang.

“Sokongan seperti daripada JPN ini adalah penting dalam memberikan semangat kepada pasukan Para Badminton kita agar mereka terus komited untuk berlatih dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah (dua kiri) diperkenalkan kepada pemain badminton OKU oleh Ketua Jurulatih Suhaili Laiman (kiri).

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak