Koperasi: Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Sarawak, Basuini Ali (dua kiri) menerima cenderahati daripada Penolong Pengarah Kanan SKM cawangan Miri Lily Fawziah Adnan (dua kanan)

MIRI: Dalam mengukuhkan aktiviti penanaman sawit di negeri ini, sebanyak 18 buah koperasi di Sarawak bakal menjadi anggota konsortium Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Sarawak Basuini Ali berkata, tujuan utama penubuhan konsortium itu adalah untuk memperluaskan perniagaan yang sedia ada.

Katanya, tujuan utama adalah untuk menjual dan membeli Buah Tandan Segar (BTS) serta dibawa ke kilang.

“Kita berharap melalui konsortium ini dapat memiliki kilang sendiri bagi memudahkan proses untuk produk huluan dan hiliran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Program Pemerkasaan Aktiviti Ekonomi Koperasi Penanam Sawit Mampan Zon Utara di sini, hari ini.

Jelasnya, mempunyai kilang memproses minyak kelapa sawit dapat mewujudkan industri huluan dan hiliran berasaskan buah kelapa sawit, kilang pembungkusan, pengedaran baja, sewaan mesin, jentera ladang dan lain-lain.

“Melalui inisiatif ini, diharap ia dapat memperkukuhkan lagi rantaian bekalan dan rantaian nilai industri minyak sawit Malaysia melalui gerakan koperasi,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pekebun-pekebun kecil menyertai program KPSM supaya mendapat menikmati kemudahan yang ada disediakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang kini bekerjasama dengan SKM.

Suara Sarawak