BANGUNAN Kilang Biskut Alya Anissa Enterprise

PELANGGAN sanggup beratur panjang untuk menunggu giliran masuk walaupun panas terik semata-mata untuk membeli biskut di Kilang Biskut Alya Anissa Entreprise.

Demikian respons Ophella Anak Nyelang selaku pengurus bahagian akauntan dan pemasaran di kedai biskut tersebut semasa dihubungi Suara Sarawak.

“Kilang Biskut Alya Entreprise atau lebih dikenali nama singkatannya KBAA sudah lama beroperasi dan sehingga tahun ini, kami sudah mempunyai tiga cawangan kedai di sekitar kawasan Matang.

“KBAA ini merupakan kilang pertama kami yang terletak di Batu 6, Taman Suria Jaya, Matang yang telah dibuka sejak empat tahun lepas, manakala dua lagi cawangan berhampiran sudah beroperasi sejak tiga tahun lepas ,” jelas Ophella.

Menurutnya, setiap kali menjelang musim perayaan, kedai mereka menjadi meriah dengan kerenah pelanggan yang datang membeli biskut.

“Malah, ada yang sanggup menunggu lama kerana bimbang kehabisan stok dan terpaksa datang pada hari lain untuk mendapatkan biskut di kedai kami,” katanya.

Ophella sendiri menyaksikan sejak bekerja di kedai itu, setiap kali menjelang perayaan seperti Tahun Baharu Cina yang akan diraikan tidak lama lagi, biskut di kedai mereka habis disapu bersih oleh pelanggan.

“Malah, untuk perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, ramai tauke Cina membeli stok dari kilang kami untuk mereka pasarkan semula.

“Saya melihat ramai tauke daripada pelbagai bangsa memberi kepercayaan kepada kilang biskut kami sehingga ada yang membuat tempahan dengan nilai yang tinggi,” katanya.

Jelasnya, kadar keuntungan yang diperoleh mereka boleh mencecah sehingga RM20,000 sebulan khususnya apabila tiba musim perayaan.

“Walaupun, pada 2020 banyak biskut kami tidak terjual disebabkan pandemik, namun kami bersyukur kerana pada tahun lepas semua stok biskut berjaya dijual,” jelasnya.

Katanya lagi, sejak dua minggu lepas, kedai mereka tidak putus-putus menerima tempahan dan tidak kurang juga yang datang membeli ke kedai itu.

“Sehinggakan kami terpaksa bekerja lebih masa menyiapkan tempahan pelanggan untuk perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

“Lebih memeranjatkan, ada pelanggan yang mencari kami pada waktu cuti bekerja iaitu pada Ahad,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pelanggan akan menjadi rambang mata untuk membeli biskut di kedai mereka kerana terdapat 33 jenis biskut dijual.

“Semua biskut dijual pada kadar harga RM10 hingga RM15 sebalang bergantung jenis biskut,” katanya.

Laris

Antara biskut laris yang menjadi pilihan orang ramai seperti biskut semperit cheese, biskut makmur, biskut cincin, biskut hantu kak limah, tart nanas, tart cadburry, almond cheese, batang buruk dan banyak lagi.

“Pelanggan suka datang ke sini kerana kami memang menyediakan penguji (tester) kepada mereka sebelum membeli,” jelasnya.

Justeru katanya, ia dapat menambah kepercayaan pelanggan untuk terus menempah apabila tidak ragu-ragu dengan rasa biskut di kedai itu.

“Kami jarang meletakkan biskut kami di mana-mana majlis jualan seperti yang sedang berlangsung sekarang iaitu Kenyalang Chinese New Year Festival Sale 2022.

“Sebaliknya tauke-tauke Cina atau tauke lain yang datang sendiri ke kilang kami untuk membeli stok sebelum mereka jual semula di festival tersebut,” katanya.

Sementara itu, mereka turut menggunakan perkhidmatan GrabFood, FoodPanda dan kadang-kadang menggunakan penghantar makanan untuk menghantar pesanan yang dibuat oleh pelanggan sekitar kawasan Kuching.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan terutamanya pelanggan biasa kami yang selalu membeli biskut di kedai ini,” katanya.

JENIS-JENIS biskut yang disesuaikan dengan tema Tahun Baharu Cina

Suara Sarawak