Pelumba skuad berbasikal Sukan Sukma kuasai acara ujian masa individu

KUCHING: Dua pelumba skuad berbasikal Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak mengungguli Ujian Masa Individu (ITT) Lelaki Terbuka, Kejohanan Lumba Basikal Piala Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah 2022 yang berlangsung petang tadi.

Adi Hafiy Idlan Muliadi muncul juara dengan catatan masa 21 minit 36 saat mengatasi Muhd Luqman Daniel Mohd Roji ditempat kedua yang ketinggalan hanya 0.14 saat apabila mencatat kepantasan 21 minit 50 saat.

Tempat ketiga pula dimenangi pelumba berpengalaman, Laurel Lauridsen Adrian yang mewakili Ghost Speed Race Team dengan catatan masa 22 minit 02 saat.

Adi berkata, latihan keras yang diterapkan jurulatih, Josiah Ng, Awang Adib dan Rosmina Minggu membantu mempertingkatkan daya kayuhan mereka.

Selain itu, pendedahan dengan menyertai beberapa kejohanan utama di Semenanjung turut memberi pengalaman berharga buat mereka.

Sementara itu, Muhd Luqman Daniel pula berpuas hati dengan pencapaiannya yang hanya ketinggalan 0.14 saat di belakang Adi.

Menurutnya, semangat juang yang diterapkan bekas pelumba Olimpik negara, Josiah Ng turut menyuntik keazamannya untuk berusaha sebaik mungkin.

Selain itu katanya, sokongan berterusan ibu bapa sepanjang dia menyertai sukan berbasikal turut membakar semangatnya untuk.mencapai kejayaan.

Kedua-dua pelumba muda itu menjalani latihan di Cyberjaya, Selangor sejak lebih setahun lalu sebagai persediaan untuk menghadapi temasya SUKMA.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak