KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg komited dalam memastikan seluruh negeri Sarawak diberi layanan adil dan saksama dalam pelbagai aspek, seiring dengan pembangunan di negeri ini.

Meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berazam untuk membangunkan negeri ini bukan sahaja di bandar tetapi di luar bandar sekali gus dapat membangunkan ekonomi di negeri ini.

“Saya sebagai Ketua Menteri mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan di negeri ini akan dilakukan dengan adil dan saksama tidak kira di kawasan Gedong, Tupong, Asajaya dan sebagainya.

“Apabila ekonomi kita dapat dibangunkan, maka Sarawak akan mengalami peningkatan dalam pelaburan, pekerjaan dan secara tidak langsung rezeki negeri ini akan bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Kesyukuran dan Apresiasi PRN Ke-12 Sarawak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok di sini, malam tadi.

Abang Johari berucap pada Majlis Kesyukuran dan Apresiasi PRN Ke-12 bagi kawasan DUN Satok di sini, malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai pembangunan di Satok, Abang Johari berkata beliau juga akan terus memberi perhatian kepada kawasan ini walaupun bukan lagi wakil rakyat di sini.

“Alhamdulillah saya telah diberi kepercayaan bermula pada tahun 1981 dan kita telah bekerjasama membangunkan Satok hingga nampak kemajuan…Alhamdulillah.

“Satok telah membangun sehingga menjadi pusat bandar dan perniagaan kebanyakannya dijalankan oleh orang Cina.

“Oleh itu, kita bekerjasama… orang Cina, Melayu dan Iban juga berpindah ke Satok,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap wakil rakyat GPS untuk sentiasa merendah diri dan berterusan membantu rakyat yang memerlukan keprihatinan kerajaan.

Katanya, rakyat Sarawak telah memberikan mandat yang besar kepada GPS dan mereka berhak untuk mendapat perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Kanan Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Sri Fadillah Yusof dan Adun Satok, Datuk Ibrahim Baki turut hadir.

Suara Sarawak