Pemergian Shebby satu kehilangan besar

KUCHING: Pemergian bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh, 61, atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh petang semalam adalah satu kehilangan besar buat dunia sukan negara.

Menurut bekas jurulatih Sarawak Jalil Ramli, beliau mengakui agak terkejut sebaik mengetahui berita itu.

Katanya, ia satu kehilangan besar buat negara terutama dunia bola sepak.

“Memang agak terkejut sebaik dimaklum oleh rakan-rakan berita berkenaan,” ujar Jalil kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Jalil, beliau begitu mengenali mendiang kerana mereka sering kali diundang dalam rancangan ‘Bola@Mamak’

Manakala ketua jurulatih Kuching City FC (KCFC) Irfan Bakti Abu Salim mengakui, beliau mengenali mendiang sebagai seorang pemain pertahanan yang cukup tenang ketika beraksi mewakili pasukan negara.

“Mengingat kembali semasa perlawanan persahabatan Malaysia menentang England, walaupun kita kalah tetapi mendiang bermain dengan begitu baik sekali,” jelas Irfan yang turut mengenali mendiang sebagai seorang pengulas dan penganalisis bola sepak yang berpengalaman.

Sementara, bekas anak didik mendiang, Firdaus Morshidi kagum dengan karektor mendiang ketika kewujudan dan kegemilangan pasukan Myteam pada 2007.

Beliau masih ingat kata-kata bekas sifunya ketika itu.

“You kalau nak jadi coach Firdaus, kena betul-betul fokus.

“Perkara negatif you jangan ambil peduli. Yang positif go on. Buat baik dengan semua orang,” jelas Firdaus ketika mengimbau kembali pesanan mendiang kepadanya.

Legenda bola sepak negara itu jatuh pengsan dipercaya akibat sesak nafas ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri di Johor, petang Rabu lalu.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak