Abdul Yakub Arbi

MUKAH: Adun Balingian Abdul Yakub Arbi menyifatkan pemergian Mantan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak.

Beliau berkata, Tun Salahuddin merupakan bapa pengasas kepada penubuhan Persatuan Melanau yang ada di Sarawak ini sejak dulu sehinggalah ke hari ini.

Katanya, jasa-jasa beliau harus dikenang oleh seluruh generasi di Sarawak kerana hasil usaha beliau akhirnya ia dapat dinikmati oleh setiap lapisan generasi tanpa mengira bangsa dan agama di negeri ini.

“Allahyarham merupakan individu pertama berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.

“Beliau menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Tambahnya, Allahyarham juga merupakan seorang pemimpin yang bukan sahaja mesra rakyat tetapi juga sentiasa memberi perhatian kepada rakyat dan berdedikasi dalam memperjuangkan Sarawak.

“Beliau merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa untuk rakyat dan pembangunan Sarawak.

“Bagi pihak seluruh warga Persatuan Melanau Mukah, kami menzahirkan ucapan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.

“Semoga roh beliau dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” ujarnya lagi.

Allahyarham Tun Salahuddin, 100, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini pada Jumaat, jam 11.42 malam.

Suara Sarawak