Ibrahim Baki bercakap kepada media selepas menyantuni para peniaga di kawasan Satok sempena Tahun Baharu Cina.

KUCHING: Adun Satok Datuk Ibrahim Baki menyifatkan Allahyarham Mantan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng seorang pemimpin yang berdedikasi dalam memperjuangkan Sarawak.

Beliau memberitahu, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat Sarawak.

“Salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Tun Salahuddin. Semoga roh beliau dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni warga Satok sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Tambah Ibrahim, Sarawak telah kehilangan seorang tokoh yang telah banyak membuat sumbangan penting sepanjang hidupnya dalam memberi khidmat kepada negeri Sarawak.

“Beliau (Allahyarham) pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri dua kali pada April 1977-1981 dan kembali menggalas tanggungjawab itu pada 22 Februari 2001 sehingga 28 Februari 2014.

“Sepanjang beliau memerintah Sarawak menjadi Yang Dipertua Negeri, beliau telah melakukan kerja yang hebat dan rakyat hidup dengan aman, makmur, damai serta harmoni,” katanya lagi.

Allahyarham Salahuddin, 100, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini pada Jumaat pada jam 11.42 malam.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada hari ini.

Pemergian Allahyarham Salahuddin telah meninggalkan 12 orang anak

Suara Sarawak