PRESIDEN SESA…Afiq Fadhli Narawi.

KUCHING: Sebanyak 12 kelab dari seluruh Sarawak bakal berentap mengharungi Liga Sukan Elektronik Sarawak yang berlangsung selama tiga musim, tahun ini.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi berkata, kejohanan tersebut antara program utama yang dijalankan SESA sepanjang tahun ini.

“Selaras dengan program ini, fokus juga akan diberikan dalam usaha memilih wakil negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan SEA di Hanoi,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, program-program pencarian bakat akan dilakukan di bahagian-bahagian terpilih.

Selain itu katanya, terdapat beberapa program SESA yang telah tertunda akibat pandemik Covid-19 sebelumnya turut dalam perancangan untuk diadakan tahun ini.

“Antaranya ialah Sarawak Esports Expo 2022 yang pernah diadakan pada 2019 sebagai program tahunan SESA, manakala tidak diadakan pada 2020 dan 2021 disebabkan pandemik.

“Expo ini akan mengfokuskan ke arah forum, pertandingan, pameran produk permainan, mengetahkan bakat dan promosi tentang permainan secara sihat.

“Selain itu Sarawak Esports Cup 2022 juga merupakan salah satu program tahunan SESA khas untuk Hari Sarawak akan kita laksanakan dengan berfokuskan kepada pertandingan berprestij,” ujarnya.

Bagi program Festival Esports Antarabangsa Sarawak 2022, Afiq memberitahu ia akan merangkumi pasukan-pasukan dari asia tenggara, persidangan, pertandingan, perkongsian pembangunan permainan, dan perlancongan esports.

Suara Sarawak