Gambar hiasan

SEBAGAI usaha permulaan, kita akan membina lima buah terlebih dahulu dengan sukatan mata pelajaran antarabangsa seperti di Universiti Cambridge.

Anak nelayan dan petani yang mempunyai kelayakan tinggi akan ditempatkan di sekolah ini.

Segala yuran ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

Itu kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke 100 SK Abang Leman Kabong empat tahun lalu.

Dalam nada penuh semangat beliau menambah, dalam erti kata lain, anak Sarawak yang berbakat harus bersaing dengan individu berbakat.

Sekiranya mereka berada dalam kelompok yang salah, maka ia dapat mempengaruhi cara mereka berfikir.

Abang Johari optimis pembinaan sekolah antarabangsa itu bakal menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif di samping meningkatkan daya saing pelajar untuk meraih keputusan cemerlang sebelum melanjutkan pengajian ke universiti antarabangsa.

Jadi kenyataan

Ternyata itu bukan omong kosong apabila sekolah menengah antarabangsa milik Kerajaan Sarawak yang pertama — Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak dijangka beroperasi tahun depan.

Sekolah yang terletak di Batu 12, Jalan Kuching-Serian itu menjadi sekolah pertama daripada sekolah menengah antarabangsa milik kerajaan yang didirikan di Sarawak selain empat lagi sekolah seumpama itu bakal menyusul.

Jika dahulu, usaha itu mungkin dianggap mustahil, namun hari ini, dianggap sebagai tindakan strategik dalam usaha memacu nilai pendidikan, sekali gus melonjak potensi anak Sarawak di persada antarabangsa.

Malah, peranan sekolah tersebut amat luas dan signifikan dengan usaha Sarawak untuk melahirkan anak bangsa yang memiliki kepakaran dinamik dan diterima di luar sempadan negara.

Kewujudan institusi ilmu bertaraf antarabangsa di negeri ini membuktikan Kerajaan Sarawak meletakkan pendidikan sebagai fokus utama dalam agenda pembangunannya.

Namun sedarkah kita, ketika perancangan ini dibuat jumlah pelajar Malaysia yang menuntut di sekolah antarabangsa pada 2019 melebihi dua kali ganda berbanding bilangan pelajar dari luar negara?

Jumlah keseluruhan pelajar yang menuntut di sekolah antarabangsa seramai 69,795 orang berbanding 19,929 orang pada 2010.

Bermula 2010 hanya 8,077 pelajar Malaysia belajar di sekolah antarabangsa.

Jumlah itu meningkat kepada 44,575 orang dalam tempoh sepuluh tahun.

Pendidikan terbaik

Ini membuktikan semakin ramai ibu bapa berlumba-lumba mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka walaupun kosnya bukan rendah.

Difahamkan yuran pengajian di sekolah antarabangsa boleh mencecah sehingga RM50,000 setahun, tertakluk kepada kemudahan yang disediakan di sekolah terbabit.

Bayangkan seandainya sekolah ini wujud di Sarawak, inisiatif itu bukan sahaja menyediakan pendidikan terbaik tetapi kos jauh lebih rendah.

Pelajar tidak perlu ke luar negara untuk mendapatkan pelajaran dengan mutu yang sama.

Ia sebenarnya satu peluang keemasan untuk anak-anak Sarawak meningkatkan pendidikan mereka dan satu bukti betapa seriusnya kerajaan negeri membangunkan pendidikan untuk anak-anak Bumi Kenyalang.

Kewujudan sekolah antarabangsa, universiti antarabangsa, teknologi dan universiti berkaitan industri adalah untuk memastikan anak Sarawak mendapat pendidikan terbaik, seterusnya pekerjaan yang lebih terjamin kerana mereka mempunyai sijil dan ijazah kelulusan yang tinggi dalam bidang teknologi dan pendidikan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak