BAU: Seorang penganggur dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Duyoh, di sini kerana memiliki dadah.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintenden Poge Nyaon berkata, lelaki berumur 32 tahun ditahan semasa di bilik tidur oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira jam 1230 tengah hari, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal putih disyaki dadah berbahaya di bawah bantal atas tilam tempat suspek sedang baring.

Beliau berkata, polis merampas dadah serbuk Methamphetamine seberat 0.52 gram dianggarkan bernilai RM60 dari suspek.

Suspek berserta dadah yang dirampas ketika serbuan dijalankan di sebuah rumah di Kampung Duyoh, Bau.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku ada mengambil dadah dua tiga hari yang lepas.

“Suspek juga mengaku mendapat dadah hasil pemberian temannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing suspek didapati positif dadah dan suspek dikesan memiliki kes kesalahan lampau.

Poge berkata, tahanan reman akan di pohon terhadap kes memiliki dadah.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 12(2) Akta dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952.

Suara Sarawak