HERO…penghuni rumah panjang pantas memadam kebakaran pada rumah panjang mereka.

SARATOK: Tindakan pantas penghuni rumah panjang Rh Panjang Ben Bali, Tapang Ujan Ulu Ibus, Mudong berjaya menyelamat rumah panjang mereka daripada musnah dijilat api.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 6.21 petang semalam.

Katanya, sejurus menerima laporan, enam anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan almari dapur dan penyambung soket di ruangan dapur bilik nombor 23 rumah panjang berkenaan.

“Komander Operasi melaporkan api telah dipadam sepenuh oleh penduduk rumah panjang menggunakan tiga unit alat pemadam api jenis debu kering,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pasukan bomba membuat pemantauan bagi memastikan api padam sepenuhnya dan mengambil maklumat berkenaan kejadian tersebut.

Katanya, setelah memastikan keadaan benar-benar selamat, pasukan bomba kembali ke balai.

HANGUS…ruangan dapur pada bilik rumah panjang hangus.

Suara Sarawak