Lokasi kemalangan membabit sebuah motosikal dan kereta pacuan empat roda.

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat di Batu 9, Jalan Kuching/ Serian malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Umum Sarawak pada jam 7.30 pagi hari ini, berhubung kejadian kemalangan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira 11.40 malam ketika mangsa, 64, sedang bergerak lurus dari arah Kota Padawan, Batu 10 menuju ke Batu 7.

“Mangsa telah berlanggar dengan sebuah kereta pacuan empat roda yang datang dari arah Batu 7 menuju ke simpang Food Court Premier semasa masuk simpang kanan lampu isyarat sudah berwarna hijau,” katanya dalam satu kenyataan.

Alexson berkata, mangsa disahkan meninggal dunia setelah mendapatkan rawatan dalam ambulans pada jam 2.45 pagi.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Motosikal mangsa mengalami kerosakkan dalam kemalangan malam tadi.

Suara Sarawak