KUCHING: Seluruh Malaysia berdukacita atas pemergian pemimpin yang dikasihi, mantan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada lewat malam tadi.

Allahyarham yang meninggal dunia di usia 100 tahun disifatkan seorang pemimpin berjiwa rakyat, mesra dan amat mudah didekati oleh masyarakat.

Pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang banyak berjasa untuk rakyat dan pembangunan negeri ini.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama dengan roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya di dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Tun Salahuddin, 100, yang merupakan individu pertama berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali, meninggal dunia pada 11.45 malam, Jumaat.

Suara Sarawak