Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kiri) menerima cenderahati daripada pengerusi Persatuan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) Abdul Rahman Zainudin.

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk terus memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar, yang akan meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk khususnya menerusi sektor pertanian dan perkhidmatan pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu bagi memacu dan merealisasikan Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Seluruh barat Sarawak akan kita bangunkan bersama-sama dengan kawasan pertengahan, termasuk Mukah dan Daro yang telah kita bangunkan dengan jambatan dan jalan raya,” katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran anjuran Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr. Sabariah Putit, Adun Satok Datuk Ibrahim Baki, Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Safri Zainudin dan Pengerusi PASBK Abdul Rahman Zainudin.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyampaikan buku Bandarsah Gemilang kepada Prof. Dr. Jeniri Amir (kiri) sambil disaksikan oleh pengerusi Persatuan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) Abdul Rahman Zainudin (kanan).

Abang Johari menambah perancangan juga telah dibuat untuk membangunkan kawasan Gedong menerusi pembinaan jalan raya yang turut menghubungkan Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau dan Lingga.

Selain itu, beliau berkata kawasan pertanian juga akan dibangunkan di Batang Lupar dan Batang Sadong.

“Ini yang sedang kita laksanakan dan apa yang penting kita membuka kawasan pertanian baharu,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata akan membina Tebingan Satok, bagi menambahkan lagi tarikan di kawasan itu sekaligus melengkapi Jambatan Satok yang sudah siap.

“Projek ini sudan dalam perancangan daripada Kampung No.3 sehingga ke Satok.

“Jadi antara Jambatan Darul Hana (Tebingan Kuching) sehingga ke Jambatan Satok, Sungai Sarawak akan bercahaya dan ini akan mencantikkan lagi pemandangan di Kuching pada waktu malam,” katanya.

Suara Sarawak