KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) dijangka akan memilih presiden baharunya pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC), Mei depan.

Pemangku presidennya Datuk Joseph Salang Gandum berkata, pihaknya telah menetapkan 7 Mei 2022 bertempat di Sibu untuk persidangan tersebut setelah ia ditangguh dua kali akibat pandemik Covid-19.

Joseph Salang Gandum

“TDC kali ini untuk memilih jawatan presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli jawatankuasa majlis tertinggi.

“Itu adalah tujuan utama TDC,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS, di sini, hari ini.

Untuk rekod, jawatan presiden PRS kosong sejak pemergian mendiang Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing pada 31 Oktober lepas yang memegang jawatan tersebut sejak 2004.

Menurut Salang, sebelum TDC tersebut dilaksanakan, pihaknya telah mengarahkan semua 32 cawangan bahagian PRS untuk mengadakan mesyuarat agung dan memilih ahli jawatan masing-masing.

Suara Sarawak