KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif dalam Bajet 2022 kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk memperkasakan kehidupan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Fatimah Zuraidah Salleh berkata antara inisiatif yang disediakan menerusi bajet berjumlah RM332.1 bilion itu ialah memperuntukkan RM10 juta kepada Pusat Latihan Berdikari dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan kepada golongan OKU.

Katanya selain itu kerajaan juga telah menetapkan semua rangkaian televisyen termasuk swasta agar menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita bagi memastikan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini.

Melalui inisiatif terbaru pula, beliau berkata JKM juga mewujudkan program MyDaftar OKU melalui inisiatif Aspirasi Keluarga Malaysia untuk membolehkan golongan terbabit menerima Kad OKU Digital.

“Sejak dilancarkan pada 31 Oktober tahun lepas, hampir 20,000 OKU telah pun mempunyai Kad OKU Digital dan kita mensasarkan semua OKU yang berdaftar dengan JKM akan didaftarkan secara digital.

“Pelbagai inisiatif ini ditetap dan disasarkan kerajaan untuk memastikan mereka tidak terpinggir,” kata Fatimah Zuraida ketika berucap mewakili Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pada pelancaran Projek Mata Hatiku Tabung Pendidikan OKU Penglihatan, Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di sini semalam.

Kad OKU Digital ini akan membolehkan mereka mendapat kelebihan dalam pelbagai program seperti Program Pendidikan Nasional, Bantuan Kewangan Pelajar OKU di sekolah dan khidmat kaunseling, serta berpeluang mengikuti program pemulihan di Institusi Pemulihan/Latihan.

Menurut Fatimah Zuraida, Projek Mata Hatiku antara MAB dan syarikat Six Sense Creative Sdn Bhd adalah kolaborasi yang digalakkan kerana kerajaan mahu memastikan syarikat korporat turut memainkan peranan terhadap usaha pembangunan OKU negara.

Sementara itu Naib Presiden MAB Datin Fauziah Mohd Ramly berkata projek berkenaan membolehkan persatuan mengumpul dana untuk Tabung Pendidikan melalui penjualan tudung yang dikeluarkan oleh Six Sense Creative.

“Projek Mata Hatiku ini mempunyai sebanyak 30 rekaan tudung dan 15 peratus daripada hasil jualan setiap unit tudung akan disalurkan kepada Tabung Pendidikan MAB.

“Kita berharap orang ramai akan menyokong projek ini memandangkan ia disasar untuk mengumpul kira-kira RM500,000 dana tahun ini untuk membantu golongan OKU penglihatan yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi,” katanya

— BERNAMA

Suara Sarawak