Polis rampas mercun bernilai RM9,000 dijual di kaki lima

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM9,000 di kaki lima sebuah premis di Jalan Kempas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek berumur lingkungan 20 tahun itu ditangkap kira-kira jam 4.50 petang menerusi serbuan yang dijalankan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching dan Bahagian Pelesenan Daerah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan dari masa ke semasa bagi mengekang aktiviti penjualan mercun dan bunga api tanpa permit yang sah,” tegasnya.

Tambahnya, polis memandang serius perkara terbabit dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyokong aktiviti sedemikan dengan membeli apa jua jenis mercun dan bunga api yang terdapat di pasaran.

Suara Sarawak