Polis Sarawak fokus basmi pengedaran, penyalahgunaan dadah tahun ini

 

PENGHARGAAN…Aidi menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima sambil disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata (dua kiri).

KUCHING: Aktiviti membasmi kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah antara empat fokus utama digariskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak, tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismali berkata, usaha membanteras kegiatan salah guna dadah perlu dilaksanakan secara berterusan agar tidak mendatangkan implikasi negatif kepada masyarakat.

“Masalah pengedaran dadah menjadi kebimbangan masyarakat.

“Semua warga kepolisan harus berganding bahu merealisasikan impian rakyat negeri ini yang ingin melihat Sarawak bebas daripada kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

BERUCAP…Aidi menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di IPK Sarawak.

Selain pembasmian dadah, tiga hala tuju 2022 yang turut ditekankan Aidi termasuk disiplin, intergriti, dan pendekatan polis kepada orang ramai.

Tegasnya, setiap warga setiap warga Polis Kontinjen Sarawak mesti mengutamakan disiplin dalam setiap penugasan di samping menzahirkan taat setia kepada pucuk pimpinan dan pasukan.

“Imej pasukan yang tercalar akan memadam segala pengorbanan dan khidmat yang telah disumbangkan.

“Ingatlah sekiranya disiplin yang sentiasa diterap dan diamalkan, kita akan sentiasa berada di landasan yang betul,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Aidi berkata program ‘Community Policing’ harus ditingkatkan bagi meningkatkan hubungan bersama masyarakat.

Jelas beliau, program tersebut bagi menunjukkan kehadiran polis serta mengeratkan hubungan mereka bersama masyarakat.

Suara Sarawak