Polis Sarawak keluar 378 saman Op Ambang Tahun Baharu

KUCHING: Polis mengeluarkan sebanyak 378 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas pada Op Khas Ambang Tahun Baharu 2022 yang diadakan di seluruh Sarawak, malam tadi.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritenden Alexson Naga Chabu berkata, seramai 140 anggota dan pegawai polis terlibat dalam operasi yang diadakan di 56 lokasi di seluruh negeri yang bermula jam 9.30 malam hingga 3 pagi.

Katanya, sebanyak 371 keping saman dikeluarkan di bawah PDRM (K) 257 sementara tujuh keping saman dikeluarkan di bawah PDRM (K) 170A.

“Saman yang dikeluarkan membabitkan 185 motosikal, 163 kereta, 12 kenderaan pacuan empat roda, enam buah van dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Selain itu, tujuh keping saman di bawah PDRM (K) 170A dikeluarkan kerana menghalang lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Alexson berkata, dua remaja lelaki masing-masing berumur 14 dan 16 ditahan polis kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Miri.

“Suspek berumur 14 tahun telah melakukan aksi ‘wheelie’ sebanyak dua kali menggunakan motosikal jenis Honda Ex5 di Jalan Sukan dan telah ditangkap setelah memberhentikan motosikal di Jalan Jee Foh,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 1,713 kenderaan diperiksa membabitkan 508 motosikal, 871 kenderaan dan 334 lain-lain kenderaan.

Tambahnya, seramai 2,134 individu membabitkan 1,156 lelaki dan 978 perempuan turut diperiksa dalam operasi tersebut.

Suara Sarawak