Projeksuara.com: Generasi muda bersedia dibadai cabaran besar

KUCHING: Generasi muda perlu bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang boleh menggugat perpaduan Sarawak kerana kesinambungan perpaduan adalah bergantung kepada mereka.

Ketua Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) Datuk Aloysius J Dris berkata, YPS ditubuhkan untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan muda  bukan sekadar mendengar pendapat generasi tua tetapi turut serta dalam usaha mewujudkan lebih banyak ruang bagi perpaduan.

“Perpaduan bukan hanya soal kaum atau agama, ia termasuk perpaduan antara muda dengan tua, perpaduan antara kumpulan sosial berbeza, perpaduan antara kumpulan politik, dan perpaduan dalam negeri serta negara kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Projek Suara, di Hotel Pullman Kuching, pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau menambah atas sebab itu juga Projek Suara mempunyai lima domain iaitu perkongsian wawasan dan identiti, pembangunan sosioekonomi, persefahaman antara generasi,penyertaan dan pengaktifan politik belia serta keharmonian agama.

“Domain ini menyentuh pelbagai aspek perpaduan, yang penting untuk memelihara perpaduan yang kita warisi daripada mereka terdahulu,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, perpaduan Sarawak sering dicemburui ramai dan perkara tersebut sebagai petunjuk baik bahawa negeri ini mempunyai sesuatu yang sangat berharga yang mesti dilindungi.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan dunia kini boleh berhubung dengan kemajuan teknologi yang pesat dan perkembangan ini datang dengan cabaran baharu dan asing.

“Justeru, kita perlu menyediakan semua orang terutamanya anak muda kita, untuk bersedia menerima cabaran masa hadapan – berkaitan teknologi, kelestarian, kesihatan awam, pendidikan, atau perubahan iklim. Kita mesti bersedia untuk menghadapi masa depan,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai Projek Suara, beliau berkata idea di sebalik program itu untuk memberikan peluang kepada belia bersuara dengan penuh tenaga, idea segar, dan cara baharu dalam melakukan sesuatu.

“Kami di sini hari ini untuk mendengar suara golongan muda,” sambil menambah beliau tidak sabar untuk mendengar pemikiran dan idea peserta tentang cara bagi terus menggalakkan serta meningkatkan perpaduan di Sarawak khususnya dalam kalangan generasi muda.

Aloysius juga berkata, beberapa peserta berpeluang untuk berjumpa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pertemuan bersemuka khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.  “Jadi bersedia untuk peluang tersebut, bersemangat dengan program ini, berkongsi pendapat anda dengan bersungguhsungguh, mendengar perspektif baharu dengan penuh hormat, dan bekerjasama untuk menghasilkan penyelesaian terbaik bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kita,” tegasnya.

Terdahulu, projek itu juga bertujuan untuk lebih memahami kepentingan dan potensi yang semakin meningkat bagi penyertaan belia dalam wacana pembangunan di Sarawak.

Projek Suara atau Kekuatan Melalui Perpaduan, Perikatan, dan Tindakan Responsif merupakan kerjasama antara Pejabat Ketua Menteri, YPS, dengan Owl & Badger Group Sdn Bhd. Ia dimulakan dengan siri bengkel dua hari yang diadakan di Kuching. Selain Kuching, bengkel juga akan diadakan di Miri (22-23 Jan), Bintulu (12- 13 Feb), dan Sibu (19-20 Feb).

Program ini melibatkan lima sesi bengkel sepanjang dua hari dan makan malam rangkaian pada malam Sabtu.  Sehubungan itu, pendaftaran bengkel di Miri, Bintulu, dan Sibu masih dibuka. Belia dari kawasan yang berdekatan dengan bandarbandar ini digalakkan untuk menyertai kerana penginapan dan kos pengangkutan akan disediakan.

Belia yang berminat boleh mendaftar melalui projeksuara.com atau menghubungi suara@obgrp.co untuk maklumat lanjut. Peserta yang layak terdiri daripada golongan belia berumur antara 16 hingga 30 tahun.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak