Abang Johari pada Malam Penghargaan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) di Kuching, malam tadi.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memanfaatkan penggunaan teknologi digital realiti gabungan seperti realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) dalam mempromosikan produk, warisan dan budaya negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengunaan teknologi dapat mengembangkan lagi potensi yang ada di Sarawak selain mampu menarik lebih ramai pengunjung.

“Sarawak kini sedang menuju ke era ekonomi digital, dalam masa yang sama kita tidak boleh memisahkan nilai sejarah daripada transformasi digital.

“Justeru itu, kita harus mempertahankan nilai dan warisan sejarah yang ada. Tetapi dalam masa pengurusannya dinaik taraf, perhebatkan serta lengkapkan dengan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Penghargaan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Tambahnya, Sarawak kaya dengan pelbagai produk warisan dan harus dipromosikan secara aktif melalui pelbagai platform termasuk pemasaran digital seperti inisiatif OKSHE di bawah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datuk Dr Sabariah Putit.

Abang Johari memberitahu, Kuching mempunyai banyak nilai sejarah yang mendalam dengan menyaksikan pelbagai perkembangan pembangunan Sarawak dari dari sebelum era pemerintahan Rajah Brooke dan pendudukan Jepun.

“Oleh sebab itu, amat penting untuk generasi muda kita tahu dan mempertahankan serta bangunankan budaya dan warisan yang kita ada ini,” ujarnya.

Suara Sarawak