Pupuk semangat majukan kampung dalam diri belia

KUCHING: Semangat untuk menjaga dan membangunkan kawasan perkampungan perlu diterapkan kepada golongan muda terutama yang berusia 18 hingga 21 tahun.

Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie Al-Yahya berkata, ia penting kerana generasi tersebut akan menjadi pelapis dalam memastikan pembangunan dijalankan di kawasan tertentu pada masa akan datang.

“Ahli jawatankuasa kampung perlu memainkan peranan untuk memastikan golongan belia ini menyertai program-program yang diadakan.

“Kita tidak sepatutnya hanya duduk di rumah, tetapi turun keluar berjumpa dengan masyarakat setempat bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim supaya mudah untuk menerangkan apa yang perlu dilaksanakan melalui program yang diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Penyampaian Sumbangan Cek MRP di Surau Darul Mutaqqim Kampung Sourabaya Hulu, hari ini.

“Pastikan anak, cucu dan kawan-kawan mereka menyertai program-program yang dianjurkan agar semangat cinta terhadap kampung dapat disemai dalam diri.

“Sekali gus menjadikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap tempat tinggal mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hamzah turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM73,000 kepada sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Surau Darul Mutaqqim Kampung Sourabaya Hulu.

Suara Sarawak