Remaja mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual

KUCHING: Remaja lelaki mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Bagaimanapun, Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan ibu sebagai penjamin.

Mahkamah memutuskan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 24 Febuari depan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja berkenaan didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama.

Seksyen berkenaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala, pertuduhan kedua didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan boleh disebat.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah rumah di Batu Kawa, di sini, pada 1 Januari dan 21 April tahun lepas.

Difahamkan, mangsa merupakan anak kenalan tertuduh yang duduk sekampung.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak