Rezeki di sebalik musim hujan

KUCHING: Musim tengkujuh memberikan banyak cabaran kepada orang awam terutama bagi yang terpaksa bekerja menggunakan motosikal kerana terpaksa menempuh cuaca tersebut walaupun dibasahi hujan.

Awal tahun ini, hujan masih turun di beberapa kawasan di Sarawak. Justeru, tinjauan Suara Sarawak mendapati pekerja penghantar makanan terpaksa mengharungi cabaran sepanjang bekerja di jalan raya.

Ahmad Hanif Redzuan, 23, yang merupakan seorang pelajar ketika ditemu bual memaklumkan pekerjaan sambilan yang dilakukannya untuk menambah pendapatan sampingan.

“Memang tidak dapat dinafikan bekerja sebagai penghantar makanan lebih-lebih lagi terpaksa menunggang motosikal ketika hujan mempunyai risiko untuk berlakunya kemalangan kerana permukaan jalan yang licin.

“Namun, saya sentiasa berwaspada sepanjang menjalankan tugas untuk menyiapkan pesanan pelanggan dengan mengambil tahu keadaan permukaan jalan seperti jalan berlubang, jalan yang mempunyai retakan dan jalan yang beralun,” katanya semalam.

Jelas Hanif, dia melihat hujan yang turun sebagai rahmat kerana lebih ramai orang yang membuat pesanan, ditambah pula dengan bilangan pekerja yang mengambil keputusan untuk tidak mengambil pesanan semasa hujan.

Tambahnya, pelanggan yang membuat pesanan pada cuaca hujan diharap dapat bersabar dan memahami situasi pekerja yang terpaksa menempuh hujan untuk menghantar makanan dalam tempoh masa tersebut.

Sementara itu, Mohd Syahiran Sharif, 23, turut menceritakan pengalamannya sepanjang bekerja sebagai penghantar makanan ketika musim hujan ini.

Ujarnya, sebagai pekerja yang perlu menghantar makanan kepada pelanggan dalam tempoh masa yang ditentukan, mereka terpaksa menempuh hujan walaupun lebat demi mendapatkan hasil yang lumayan.

“Walaupun begitu, saya juga sentiasa peka dengan keselamatan diri sepanjang bekerja dengan memastikan motosikal ditunggang pada had laju yang tertentu, sentiasa menggunakan topi keledar serta memberi lampu isyarat sekiranya perlu.

“Di samping mencari rezeki untuk diri sendiri, kita juga perlu memastikan keselamatan terjaga sepanjang berada di jalan raya,” jelasnya. Mengulas lanjut, kerja tersebut memerlukan pekerja mengejar masa untuk menghantar makanan yang dipesan kepada pelanggan secepat mungkin.

Tetapi, ketika musim hujan, penunggang motosikal perlu berhati-hati di jalan raya. Justeru, dia berharap pelanggan memahami keadaan tersebut.

“Pelanggan tidak perlu risau kerana jika pesanan sudah siap, kami akan terus menghantar pesanan ke tempat yang ditetapkan. “Segala kelewatan yang berlaku bukan disengajakan, jelasnya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak