KUCHING: Seronok melihat kebahagiaan terpancar di muka pelanggan merupakan satu kepuasan buat Nur Dzaalika Kipli, 30, ketika dia menjalankan perniagaan sebagai penghantar hadiah kejutan yang digubahnya sendiri.

Dia yang juga bertugas sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan di UTC Kuching itu berkata, perniagaan itu dimulakan sejak 2019 lagi.

“Saya mula terjebak dalam kegiatan mengubah bunga ketika meraikan majlis konvokesyen adik saya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Pada masa itu, saya mengolah sendiri gubahan bunga kepadanya sebagai hadiah pada hari tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, sejak itu tercetus ideanya untuk menjalankan perniagaan tersebut sebagai sumber pendapatan sampingan dengan bermodalkan sebanyak RM400.

“Saya menggunakan duit tersebut untuk membeli bahan-bahan keperluan seperti kotak, plastik bungkusan, span dan belon.

“Alhamdulillah, ramai pelanggan yang menempah secara dalam talian dan menjadi pelanggan tetap,” katanya lagi.

Mesra disapa sebagai Dzaalika, dia turut menawarkan pelbagai jenis pilihan pakej yang berpatutan kepada pelanggan.

“Setiap pakej beserta dengan kek diikuti set gubahan bunga dua dalam satu dengan anggaran pakej bermula RM45.

“Bagaimanapun, pelanggan bebas memilih konsep yang mereka inginkan dengan harga sesuai.

“Meskipun menyediakan gubahan bunga sedia ada, namun mereka boleh meminta pakej gubahan mengikut kehendak masing-masing,” katanya lagi.

Selain dijadikan sebagai hadiah kejutan, Dzaalika turut menawarkan khidmat menghias majlis termasuk majlis perkahwinan.

“Saya bukan setakat fokus pada hadiah gubahan malah turut menyediakan perkhidmatan menghias majlis,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dzaalika juga berkata dia tidak menghadkan jumlah tempahan pelanggan yang diterimanya setiap hari.

“Dalam sehari saya mampu menyiapkan maksimum sebanyak 13 gubahan dan biasanya menerima sekurang-kurangnya lima tempahan dalam sehari,” katanya yang mendapat tempahan sekurang-kurangnya sehingga 80 orang dalam tempoh sebulan.

Dzaalika akui tidak menang tangan memandangkan dia juga mempunyai kerja hakiki.

“Ada segelintir tempahan terpaksa saya tolak kerana takut tidak sempat untuk disiapkan pada tempoh yang mereka inginkan.

“Oleh itu, saya tidak pernah menerima tempahan yang agak lambat daripada masa diperlukan kerana ini menjejaskan kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Meskipun perniagaan itu banyak persaingan namun Dzaalika mempunyai kelebihan perkhidmatannya tersendiri termasuk menyediakan rakaman video kepada penerima.

“Saya beroperasi setiap hari bermula dari 9 pagi hingga 9 malam.

Biasanya pelanggan akan membayar dahulu pakej yang mereka inginkan sebelum gubahan bunga itu dihantar kepada penerima,” katanya lagi.

Menurut Dzaalika, dia turut berhasrat memiliki kedai hadiah sendiri sekiranya perniagaannya terus berkembang di masa hadapan.

Pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini, anda dialu-alukan menghubungi Dzaalika di talian 010-9618656 atau Zalika Gift di Facebook.

Suara Sarawak