RM289,000 baik pulih rumah terjejas ribut

BAU: Sebanyak enam buah rumah terjejas teruk manakala 10 lagi rumah mengalami kerosakan kecil akibat ribut yang melanda di Kampung Opar pada 4 Januari lalu.

Menurut Adun Opar Billy Sujang, penilaian kerosakan yang melibatkan 16 rumah berkenaan serta anggaran kos pembaikan menelan kos sebanyak RM289,000.

Katanya, Pusat Khidmat Opar telah memperuntukkan sejumlah RM141,000 menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi membantu mangsa.

“Namun, jumlah bantuan yang dikeluarkan oleh PPRMS Pusat Khidmat Opar tidak dapat menanggung sepenuhnya kos kerosakan yang perlu ditanggung iaitu sebanyak RM289 ribu.

“Justeru, saya sendiri telah berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk membuat permohonan bantuan untuk mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas membuat lawatan Pemeriksaan Rumah Mangsa Ribut Monsun Timur Laut di Balai Raya Kampung Opar, hari ini.

Jelasnya, Uggah bersetuju dan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM148,000 melalui JPBN untuk menampung kos lebihan bagi kerja pembaikan tempat kediaman bagi mangsa yang terlibat.

Pada masa yang sama, JPBN turut mengagihkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak