Fadillah (dua dari kiri) menyerahkan geran khas kepada salah seorang pengerusi surau kawasan Parlimen Petra Jaya.

KUCHING: Sejumlah RM495,000 geran khas diagihkan kepada 33 buah surau kawasan Dun Tupong, Petra Jaya, hari ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan tersebut disumbangkan bagi menambah baik kemudahan serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan dengan setiap surau menerima RM15,000.

“Peruntukan ini bagi membolehkan AJK surau membaik pulih apa yang perlu serta menganjurkan pelbagai program,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya itu berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Khas Naik Taraf Fizikal Surau-surau Kawasan Parlimen P194 Petra Jaya (N6 Tupong) di Surau Mahmudi, hari ini.

Fadillah dalam pada itu turut menegaskan pentingnya program terhadap masyarakat bukan sahaja dalam hal ehwal agama, pengurusan rumah tangga dan sebagainya.

“Ilmu duniawi perlu dikembangkan, jemput penduduk bukan Islam supaya kita boleh sama-sama tingkatkan kemahiran dan ilmu tentang kehidupan dan merapatkan ukhwah sesama manusia,” ujarnya.

Turut hadir, Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Suara Sarawak