RM500 sekali beri untuk pengusaha sektor pengangkutan Sarawak

KUCHING: Pengusaha penambang, pemandu teksi, pengendali van penumpang, bas dan van sekolah di Sarawak menerima bantuan tunai secara sekali beri sebanyak RM500.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan salah satu daripada tujuh langkah dalam pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 1,725 pengusaha dari sektor pengangkutan di Sarawak bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang diperlukan.

“Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM870,000 daripada kerajaan negeri,” katanya pada pelancaran BKSS 8.0 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya langkah itu dilaksanakan berikutan Sarawak sekarang berada dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara dengan sektor-sektor ekonomi dan sosial mula dibuka.

“Oleh itu, perkhidmatan pengangkutan awam amat diperlukan bagi membantu aktiviti sosioekonomi,” tambahnya.

Suara Sarawak