SABA terkilan Dealoniel tidak diserap dalam skuad kebangsaan

KUCHING: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo mengakui, pihaknya terkilan dengan badan induk tertinggi, Parsatuan Tinju Malaysia (PTM) yang tidak menyerapkan Dealoniel Mcdelon Bong dalam skuad kebangsaan.

Sebaliknya, beliau berkata PTM hanya menjemput petinju emas kelahiran Sarawak itu untuk menjayakan aksi persahabatan menentang petinju yang mewakili negara.

“Saya terkilan mengapa dia (Daeloniel Mcdelon Bong) hanya diundang untuk menjayakan perlawanan sesama sendiri menentang petinju yang mewakili negara sedangkan dia sering mendapat pingat emas dalam setiap kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut beliau, perkara ini banyak kali berlaku dan berlarutan sehingga hari ini.

Sehubungan itu, Rahman berharap petinjunya itu dapat diserap dalam kem kebangsaan.

Daeloniel Mcdelon Bong menutup kalendar 2021 dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas dalam kategori Light Weight (60kg) pada Kejohanan Tinju Piala Malaysia (Lelaki & Wanita) 2021 yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Nilai Negeri Sembilan pada awal Disember tahun lalu.

Suara Sarawak