SABA tubuhkan pusat latihan tinju baharu di Kanowit dan Serian

KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) akan menubuhkan dua lagi pusat latihan tinju baharu bagi mempergiatkan program pembangunan sukan tersebut di negeri ini.

Presiden SABA Datuk Rahman Lariwoo berkata, dua pusat tersebut adalah terletak di daerah Kanowit dan Serian sekali gus menjadikan sebanyak 13 buah pusat latihan telah dibuka di negeri ini.

“Antara fokus kita menjelang tahun baharu adalah menjadikan sukan tinju dikenali ramai dan pengambilan pelapis baharu merangkumi semua atlet muda di seluruh negeri Sarawak,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Bagi tarikh pengoperasian pusat tersebut, Rahman berkata keputusan itu bergantung kepada pihak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) untuk menetapkan tarikh sebenar bagi pusat itu beroperasi sepenuhnya.

Dengan pembukaan lebih banyak pusat sukan lasak itu kelak jelasnya, diharap ia mampu membuka ruang kepada peminat sukan tinju di setiap pelosok negeri untuk menceburi sukan tersebut.

“Pihak SABA bergiat aktif dengan membuka lebih banyak pusat supaya mereka yang berminat mendapat peluang seperti di kawasan lain.

“Justeru kita harap dengan peluang ini, ia akan dapat melebarkan lagi sukan tinju kepada generasi muda serta dapat membangunkan sukan tinju ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.

Suara Sarawak