KUCHING: Jurulatih yang semakin meningkat naik kredibilitinya, Safri Amit kembali diberi kepercayaan mengemudi skuad pelapis Sarawak United FC II (SU FC II).

Dengan misi serampang dua mata menjadi inti pati bekas penolong jurulatih SU FC musim lalu itu, fokus beliau turut diberikan kepada pembentukan pasukan untuk menghadapi kempen Piala Presiden 2022.

Di samping itu menyediakan barisan pemain yang lebih mantap untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022.

“Tiada masalah bagi saya melaksana tanggungjawab yang diamanahkan.

BERI ARAHAN…Safri Amit (tengah) mengarah sesuatu kepada pemainnya semasa latihan. – FOTO GHAZALI BUJANG

“Sama ada untuk mengharungi kempen Piala Presiden 2022 malah mencakupi temasya Sukma Kuala Lumpur 2022,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau berkata walaupun barisan pemain yang berada dalam skuad kendaliannya ketika ini gabungan kudrat orang lama dan muka baharu,namun hampir kesemua 30 pemain di bawah kendaliannya itu mempunyai kelebihan tersendiri.

Malah, tidak keterlaluan untuk melabelkan barisan pemain muda itu permata yang mampu mencipta kejutan pada saingan sebenar kelak.

“Saya percaya barisan pemain yang ada hari ini mampu mencipta gelombang kebangkitan dunia bola sepak Sarawak selepas ini,” katanya.

Suara Sarawak