Gambar hiasan

MASALAH kesihatan dilihat sebagai satu masalah sosial yang serius kerana boleh mempengaruhi individu, masyarakat mahupun negara.

Masalah kesihatan bukan sahaja sering dikaitkan dengan golongan agak berumur, namun ia juga banyak melibatkan setiap lapisan masyarakat bermula daripada bayi.

Membahas mengenai masalah kesihatan, penulis ingin menekankan mengenai penyakit jantung yang mungkin ramai tahu bahawa kebanyakan masyarakat kini menghadapi masalah jantung tanpa mengira umur.

Apatah lagi penyakit jantung menjadi punca utama kematian di Malaysia tahun lalu, hasil laporan Jabatan Statistik Malaysia terhadap punca kematian di Malaysia pada 2021.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Penyakit Jantung Koronari kekal sebagai sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.

Ini menjadi sebab kematian utama di Malaysia lebih dua dekad lalu yang telah merekodkan peningkatan daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada 17.0 peratus pada 2020.

Selain itu, lelaki lebih cenderung mengabaikan penjagaan kesihatan sehingga tanpa disedari berdepan dengan kematian mengejut.

Di Malaysia, serangan jantung dan kanser prostat adalah dua jenis penyakit paling tinggi dihidap lelaki sebagai pembunuh senyap.

Sebanyak 12,707 (68.6 peratus) kematian disebabkan oleh Ischaemic heart diseases adalah dalam kalangan lelaki, manakala perempuan 5,808 (31.4 peratus).

Di peringkat Asia, Ischaemic heart diseases merupakan sebab utama kematian di Singapura, Thailand dan Filipina.

Trend sama turut dicatatkan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom dan Australia.

Jantung merupakan salah satu organ yang amat penting di dalam tubuh kita.

Tanpa jantung, sudah pasti kita semua tidak bernyawa.

Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh, amat wajar perhatian sejak awal diberikan kepada jantung.

Jantung kita akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun disebabkan gaya hidup tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung.

Punca masalah jantung Bagi punca kepada masalah jantung ini, pertamanya tekanan yang akan mengakibatkan peningkatan hormon dipanggil cortisol dan adrenalin, sekali gus meningkatkan risiko darah beku yang boleh tersumbat pada salur darah utama.

Kurang bersenam, sibuk bekerja, masa terluang sangat kurang, pekerjaan tidak memerlukan pergerakan fizikal, tidak banyak tenaga digunakan juga menjadi punca berlakunya penyakit jantung.

Selain itu, tekanan darah tinggi akan menggalakkan berlaku penyempitan saluran darah, malah keadaan ini menyebabkan jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk mengalirkan darah melalui saluran sempit.

Lebih tinggi tekanan darah, lebih besar peluang serangan sakit jantung.

Seterusnya faktor pemakanan termasuk makanan segera yang tidak diketahui kaedah penyediaannya terutama jika ia mengandungi kadar kolesterol tinggi juga memainkan peranan.

Antara faktor penyumbang kerosakan jantung ialah pengambilan kolesterol tinggi.

Misalnya makanan yang amat popular sekarang iaitu ayam goreng, burger, bubble tea, pisang goreng cheese, nasi kandar ia semuanya makanan berminyak dan berkolestrol tinggi. Manakala, bagi individu yang masih mengamalkan tabiat merokok, ia punca utama yang menyebabkan serangan jantung.

Nikotin dan karbon monoksida daripada asap rokok membuatkan jantung bekerja lebih pantas.

Malah, dua bahan kimia ini turut meningkatkan risiko darah beku.

Merokok bukan sahaja boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, malah amalan ini juga boleh menyebabkan kerosakan pada dinding arteri.

Oleh sebab itu, berhentilah merokok untuk jantung yang lebih sihat.

Bukan itu sahaja, mereka yang berhenti merokok juga boleh mengelakkan pelbagai lagi penyakit lain seperti kanser paru-paru dan sebagainya.

Langkah penjagaan jantung Jika kita lihat dari luaran seseorang sihat serta aktif dalam aktiviti sehariannya, ia tidak cukup untuk menyelamatkan individu itu daripada risiko serangan jantung.

Satu-satunya cara untuk memastikan seseorang itu bebas daripada sebarang risiko penyakit jantung adalah dengan melakukan pemeriksaan berkala di hospital.

Pemeriksaan itu bukan sahaja berkaitan jantung sebaliknya tahap kolesterol, kandungan gula dalam darah serta tekanan darah kerana ketiga-tiga perkara ini adalah penyebab utama kepada pembuluh darah tersumbat dan berisiko untuk terkena serangan jantung.

Seseorang itu mungkin berasa sihat dan aktif tetapi mungkin berisiko.

Tambahan pula serangan jantung jarang menunjukkan tanda tanda dan sekiranya ada, barangkali ramai tidak menyedarinya.

Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur berdaun hijau selain buah buahan adalah baik untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan hidup.

Justeru, amat baik sekali ia dimakan setiap hari.

Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah tidak mengambil minuman beralkohol.

Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi hati.

Sehubungan itu, penting untuk menjaga kesihatan dalam kalangan penduduk Malaysia bagi membantu memperbaiki gaya hidup pada masa hadapan.

Sebagai rakyat Malaysia yang amat prihatin terhadap kesihatan diri, penting untuk mengetahui punca-punca yang mendorong kepada serangan penyakit jantung dan langkah-langkah untuk mengelak daripada serangan penyakit ini.

Suara Sarawak