KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) sedang berusaha menyambungkan lingkaran grid zon selatan, tengah dan utara supaya kawasan tertentu dapat dicapai melalui penyaluran air menjelang tahun 2024 dan 2025.

Menteri Muda Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu, bagaimanapun, ada bahagian yang tidak dapat dibekalkan dengan air melalui sistem biasa kerana tempat tersebut terlalu jauh di kawasan pedalaman.

“Oleh itu, kita mewujudkan satu projek khas untuk kawasan pedalaman iaitu Pelaksanaan Sistem Grid Bekalan Air dan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas) dan Projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (Sares).

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi

“Agak sukar untuk kementerian memasang sistem paip di kawasan tersebut kerana akan menelan kos yang mahal, di samping bilangan penduduknya yang sedikit,” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Kawasan Dun Pantai Damai, di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, projek Sawas dan Sares yang sudah dimulakan sejak beberapa tahun lepas bertujuan untuk menyediakan bekalan elektrik 24 jam dan juga air bersih di kawasan pedalaman. Katanya, beliau akan berbincang dengan dua agensi berkaitan untuk memastikan kedua-dua projek tersebut dapat dijalankan serentak bagi memudahkan urusan harian mereka yang tinggal di kawasan ini.

Mengulas lanjut, projek ini akan diteruskan dengan harapan ia akan disiapkan menjelang pertengahan 2024 agar bekalan air dan elektrik dapat sampai ke seluruh kawasan di Sarawak. Dalam pada itu, Rahman menyerahkan bantuan insentif pendidikan kepada 64 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Aktiviti pemberian insentif diadakan semula setelah ditangguhkan beberapa bulan kerana pandemik menjadikan ini sebagai majlis pertama yang diadakan pada 2022 dan akan diteruskan lagi untuk masa akan datang. “Pemberian insentif galakan ini bertujuan untuk memberi semangat kepada anak-anak yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, di samping melahirkan lebih ramai golongan muda yang berilmu,” jelasnya.

Katanya, pemberian ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai pelajar untuk bersungguhsungguh mencapai pengajian di peringkat yang tertinggi untuk diri sendiri, keluarga dan negara. Pada masa sama, beliau menjelaskan insentif diberikan untuk mengiktiraf kesungguhan pelajar tersebut semasa berada di peringkat sekolah dan berjaya melangkah ke IPTA dan IPTS.

Suara Sarawak