BERCAKAP…Ahli Parlimen Petrajaya Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING: Amalan menyantuni masyarakat pada setiap sambutan perayaan sememangnya sudah lama dipraktikkan di Sarawak, kata Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya itu, pendekatan Keluarga Malaysia sinonim dengan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak iaitu saling menjaga satu sama lain.

“Ini adalah upacara tahunan yang kita laksanakan setiap kali perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina bagi kawasan Tupong di Dewan SUPP Matang, hari ini.

Tambahnya, aktiviti seumpama itu memang diadakan setiap tahun untuk masyarakat cina khususnya di kawasan Matang terdiri daripada warga emas serta mereka yang memerlukan.

“Untuk sambutan ini, kita biasa mengikuti budaya mereka iaitu memberikan sumbangan berupa angpau dan buah limau,” katanya .

Tambahnya, budaya menyantuni setiap perayaan itu perlu dikekalkan oleh para pemimpin khususnya bersama Adun Tupong.

Suara Sarawak