KUCHING: Sarawak termasuk Sabah, serta beberapa lokasi di negeri Pantai Barat Semenanjung diramal mengalami fenomena puting beliung.

Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang berkata kebanyakan (yang akan berlaku) di kawasan di persisiran pantai seperti Bintulu, Miri dan perairan Labuan serta Pantai Barat Sabah.

“Kawasan berkenaan sudah melaporkan kejadian puting beliung dan ia akan sentiasa berlaku, apabila keadaan cuaca sesuai (kehadiran awan kumulonimbus),” katanya.

Beliau berkata, faktor berlakunya kejadian itu disebabkan kehadiran awan kumulonimbus yang besar menyebabkan perolakan kuat dalam awan berkenaan, seterusnya membentuk corong awan di dasar awan itu.

Ambun menambah amat sukar untuk MetMalaysia meramal kejadian puting beliung di Malaysia kerana ia berlaku pada skala kecil dengan jangka hayat yang pendek.

“Puting beliung sebesar ini sekejap saja berlaku, paling lama pun dalam tempoh sejam.

“Jadi, tempoh untuk memantau kejadian ini agak singkat, sebab itu agak sukar untuk diramal, tetapi kita melihat pembentukan awan kumulonimbus dengan menggunakan imej radar kita yang ada di seluruh Malaysia” katanya.

Ambun berkata, antara tanda awal berlakunya puting beliung ialah pembentukan awan yang besar dan dasar awan yang gelap serta corong awan menjulur ke bawah.

Beliau turut menasihati orang ramai sentiasa berwaspada sekiranya berlaku puting beliung, selain mengelak mendekati kawasan itu dan mencari perlindungan di tempat selamat.

Semalam, ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan di Ipoh, Perak.

 

Suara Sarawak