Sarawak dijangka mula vaksin kanak-kanak bawah 12 tahun pada Februari

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang bersiap sedia untuk memberi vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Awam Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata ia sejajar dengan pembukaan semula sesi persekolahan akan datang.

“Memandangkan sesi persekolahan secara fizikal akan bermula, kerajaan Sarawak telah bersedia melaksanakan vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka memulakan proses vaksinasi berkenaan pada Februari menggunakan Pfizer-BioNTech.

Sesi persekolahan tahun ini pada mulanya dijadualkan bermula esok (3 Januari), namun Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk menangguhkan tarikh tersebut kepada 9 Januari selepas mengambil kira situasi banjir semasa negara.

Dalam perkembangan lain, Dr Sim berkata Sarawak akan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara esok (3 Januari).

“Ini memandangkan jumlah kes Covid-19 telah menurun dan sudah hampir 14 hari sejak Pilihan Raya Sarawak Ke-12 berakhir,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah ekoran kemunculan kes varian Omicron Covid-19 di negeri ini.

Suara Sarawak