Sayap belia pastikan parti kekal relevan

KUCHING: Pelaksanaan Undi 18 mulai tahun ini ada kaitan langsung dengan penubuhan sayap belia oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kata penganalisis politik, Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman. Selain itu, katanya ia juga merupakan satu pendekatan seiring dengan perkembangan semasa.

“Secara prinsipnya, penubuhan sayap ini bukan keperluan baharu jika dilihat daripada perspektif lebih besar. “Amalan semasa selama ini turut menyaksikan parti-parti politik telah mewujudkan sayap parti berteraskan golongan seperti wanita, puteri, pemuda dan sebagainya,” katanya yang dihubungi, semalam.

Mohd Fadzil menambah sayap belia itu juga adalah antara sebahagian daripada langkah dan usaha yang perlu untuk parti politik memastikan parti kekal relevan di samping meneruskan kelangsungan politik bagi meraih sokongan golongan belia.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam keghairahan melibatkan belia dalam dunia politik, parti-parti politik tidak harus menggadai dan mengabaikan aspek pendidikan yang merupakan aset masa depan belia.

Katanya, semua pihak harus melihat kepentingan pendidikan dalam segenap aspek sebagai aset utama sumber modal insan bagi memastikan kelangsungan serta kelestarian pembangunan dan kepimpinan negara.

“Malah, aspek pendidikan ini juga amat penting bagi memastikan kualiti ahli politik dan bakal pemimpin yang dipilih nanti adalah daripada kalangan belia yang berketerampilan dan berpendidikan dalam mengemudi hala tuju serta pencapaian kemajuan negara,” katanya.

Justeru, Mohd Fadzil menegaskan sayap belia bakal diwujudkan harus memberikan pertimbangan serius bagi memastikan keseimbangan sewajarnya terhadap dua aspek iaitu antara kepentingan politik dan pendidikan. “Berpada-padalah dalam sebarang tindakan, jangan sampai “yang dikejar tak kesampaian, dikendong jatuh berciciran”,” katanya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak