Uggah (kiri) dan Sim (kanan) bersama Pengarah HUS, Dr Ngian Hie Ung (tengah) semasa lawatan ke hospital

KUCHING: Sebuah kawasan tempat letak kereta di Hospital Umum Sarawak (HUS) akan diubah menjadi unit rawatan rapi (ICU) hibrid kekal bagi menampung pesakit Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, ia bagi membolehkan hospital utama fokus beroperasi seperti biasa.

Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kerja-kerja pembinaan tersebut akan bermula pada Februari depan dengan menyediakan tambahan 10 katil ICU hospital.

“Pertambahan bilangan katil ini sebagai persediaan pihak hospital sekiranya ada keperluan untuk pesakit Covid-19 di kemudian hari,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke HUS, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri juga bersetuju untuk membantu memasang paip gas dengan kos RM500,000 di Kompleks Belia dan Sukan (KBS) Sarawak.

“Melalui pemasangan tersebut, bilangan tersebut akan bertambah sebanyak 40 katil,” katanya

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Suara Sarawak