Sekelip mata dapat bantuan bumbung

BAU: Adun Opar Billy Sujang turun padang untuk membantu penduduk yang terkesan dengan memberikan sumbangan melalui Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Pusat Khidmat Opar sebanyak RM141,000.

Bantuan diberikan susulan kejadian yang berlaku pada 4 Januari lalu apabila 16 rumah di Kampung Opar dilanda ribut mengakibatkan enam kediaman di situ terjejas teruk, manakala 10 lagi mengalami kerosakan kecil dan menelan kos sebanyak RM289,000 untuk kerja pembaikan.

Justeru, beliau turut meminta bantuan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk membantu penduduk setempat dan telah diluluskan peruntukan sebanyak RM148,000 bagi menampung kos yang diperlukan.

Suara Sarawak sempat bertemu dengan penduduk kawasan tersebut untuk mengetahui lebih lanjut keadaan semasa berlakunya ribut di Kampung Opar. Daid Nigopi, 67, menjelaskan kejadian berlaku dengan sangat mengejut pada malam kejadian menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting dan sebagainya.

“Kejadian berlaku sekitar jam 6.20 petang itu sangat mengejutkan seperti bunyi bom meletup membuatkan kami sekeluarga terkejut ketika sedang duduk bersembang di bahagian ruang tamu rumah. “Tafsiran daripada pihak JKR, kerosakan yang berlaku di rumah ini sekitar RM50,000 sehingga RM80,000.

Justeru, saya harap kerja pembaikan dapat disiapkan secepat mungkin supaya kami boleh berpindah semula ke rumah dalam masa yang terdekat,” katanya ketika ditemui wartawan.

Tambahnya, tiada sebarang kecederaan berlaku sepanjang kejadian tersebut berlaku, hanya harta benda sahaja yang terjejas teruk. Seterusnya, Nojiw Ngenang, 61, turut menjelaskan kesan terhadap tempat kediaman yang dialami akibat ribut yang melanda pada 4 Januari lalu.

“Rumah yang didiami sudah tentu terjejas akibat ribut yang melanda, namun atas keprihatinan Adun Opar, pelbagai bantuan disalurkan untuk meringankan beban penduduk setempat bagi kerja pembaikan tempat kediaman. “Kerja pembaikan yang dilakukan oleh pihak kontraktor agak pantas dan tetap diteruskan walaupun dalam keadaan hujan.

Oleh itu, saya bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh pihak yang berkaitan kerana membantu kami yang ditimpa masalah,” katanya. Dalam pada itu, kerja pembaikan di beberapa rumah yang mengalami kerosakan kecil sudah siap dibaiki dan akan fokus kepada enam buah rumah yang terjejas teruk untuk disiapkan dengan segera.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak