RAMPAS… Pemangku Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin (kiri) dan Pemangku Ketua Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarawak Neelkees Kassim (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. – Foto Ramidi Subari

KUCHING: Taktik seorang lelaki menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup masuk satu kilogram Ketamin terbongkar apabila dia ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri.

Pemangku Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata suspek berusia 44 tahun itu ditahan ketika hendak mengambil bungkusan dadah yang dikirimnya dari luar negara itu di sebuah premis syarikat kurier di Permy Technology Park, Miri kira-kira jam 11.17 pagi, 24 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan berkenaan menemui satu bungkus plastik lutsinar yang mengandungi serbuk berwarna putih dipercayai dadah jenis Ketamin.

“Turut dijumpai satu paket serbuk minuman jenama “Juice Master” di dalam beg sandang suspek yang telah diuji dan dipercayai dadah jenis Ketamin yang dianggarkan seberat 28 gram,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM51,400.

Menurutnya, modus operandi sindiket menggunakan nama syarikat yang tidak aktif dan alamat yang tidak wujud untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa serta menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup masuk dadah ke bandar raya Miri.

Tambahnya, orang awam juga dipercayai digunakan sebagai keldai dadah untuk mendapatkan bungkusan yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Suara Sarawak