Seorang parah, 10 cedera kenderaan bertembung di Jalan Sri Aman/ Sarikei

SRI AMAN: Seorang cedera parah manakala 10 lagi individu termasuk dua kanak-kanak menerima rawatan di hospital selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 49 Jalan Sri Aman/ Sarikei semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan yang dilaporkan kira-kira jam 3 petang itu membabitkan sebuah pikap dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati punca kemalangan berlaku disebabkan pemandu MPV hilang kawalan disebabkan mengantuk lalu memasuki laluan bertentangan.

“Pemandu MPV yang bergerak dari arah Tanjung Manis menuju ke Sri Aman telah melanggar pikap yang bergerak dari arah Sri Aman ke Sarikei.

“Akibat kejadian, pemandu pikap mengalami luka di kedua-dua kaki sementara pemandu MPV hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Betong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala beliau berkata, seramai tiga penumpang pikap dan lima penumpang MPV terbabit turut menerima rawatan di Hospital Betong.

Katanya, hanya seorang penumpang MPV mengalami cedera parah di kepala.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak